Sunday, 8 April 2012

Allah Itu Maha Adil !

Assalamualaikum ..


Allah itu Maha Adil kepada hamba-hambaNya. Apabila dicipta wanita dengan segala sifat gemar kepada perhiasan dan suka berhias, maka Allah jadikan pula perhiasan-perhiasan untuk digunakan- dari emas, perak, intan, berlian, pakaian yang indah, kenderaan yang bagus, rumah-rumah yang baik dan bermacam lagi.
Allah juga sangat memahami diri kita sebenarnya. Setelah dia ciptakan kita dan diberinya fitrah suka berhias, Dia jadikan pula perhiasan yang halal serta perlu berhias pada masa dan tempat yang sesuai sahaja.  Dalam masa yang sama, Allah jadikan perhiasan yang haram dipakai pada masa dan tempat tertentu kerana bimbangkan mudarat berlaku ke atas diri kita.
Sekali-kali Allah tidak mengharamkan kita dari menurut fitrah suka berhias itu. Sebaliknya Dia beri panduan bagaimana fitrah itu harus disalurkan sehingga kita benar-benar dapat mengecapi kemanisan pada minda, jasmani dan rohani.
Saya mahu berhias dan menurut trend, maka saya boleh lakukannya tetapi dalam masa yang sama, saya dapat memelihara fitrah malu dengan melindungi perhiasan tersebut dari pandangan mereka yang tidak berhak menikmatinya.
Jika kita berhias kemudian mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutama lelaki ajnabi, ia sebenarnya bukan menurut fitrah tetapi realitinya menyongsang fitrah  serta mengundang fitnah.  Fitnah pada diri sendiri ialah kita mencetak noda-noda mazmumah dalam hati dan fitnah pada orang lain ialah kita mencipta dosa percuma kepada ajnabi yang tertarik kepada perhiasan kita.
Jika seorang yang memandang, maka dosanya kita turut sama menanggungnya. Bayangkan jika kita keluar ke tempat awam, berapa ramai lagi dosa mereka yang fasik harus kita tanggung? Itu dari mereka yang fasik…bagaimana pula dengan para mukmin yang sebenarnya sudah berusaha menundukkan pandangan mereka, tetapi dek ‘gedik’ kita yang tidak bertempat, mereka tersalah pandang dan sebagainya… Kasihan mereka, bukan? Jika kita sendiri memelihara maruah kita, tidak akan timbul lagi masalah tersalah pandang begini. Hati kita selamat dan kita juga menyelamatkan hati (iman) orang lain.
Itulah yang sering saya fikirkan bila datang syahwat mahu melawa sebelum keluar rumah. Kerana apa dan untuk siapa? Apa yang saya akan dapat? Saya mahu berhias dan dalam masa yang sama mendapat pahala.  Bukannya berhias yang mendapat dosa.  Kita ada pilihan sebenarnya untuk memanfaatkan fitrah itu menuju syurga atau neraka.
Ingat ye… tiada golongan atas pagar di akhirat sana… Tidak di syurga dan tidak di neraka…
Saya merasa kasih pada kaum lelaki sama seperti saya kasihkan diri sendiri.  Justeru itu, lebih baik saya menahan diri dari menampilkan diri dengan cara membuatkan perasaan mereka tidak keruan. Tambahan pula, perkara yang paling melemahkan lelaki adalah wanita… dengan segala kecantikan yang ada pada mereka, senyuman mereka , lenggang- lenggok bicara dan nada suara yang dilunakkan.
Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita”
Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Benar… kita sebagai perempuan akan merasa seronok melihat lelaki tertarik kepada kita dan lemah segala sendi bila berdepan dengan kita … namun apa gunanya membina keseronokkan di atas kebinasaan orang lain? Itu pun tanpa disedari, kita membinasakan diri sendiri juga dengan himpunan dosa-dosa.  Berbaloikah semua itu sedangkan hidup ini hanyalah sementara dan tempat ujian memilih manakah hamba yang terbaik di sisi Tuhannya?
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.